26-27 OGOS 2026 – Pusat Biodiversiti Sabah (SaBC) telah mengambil bahagian dalam 9th International Biotechnology Symposium (SB9) 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula 26 hingga 27 Ogos 2026 bertempat di Hotel Le Meridien Kota Kinabalu. Simposium antarabangsa bertemakan "Strengthening a Sustainable Future with Emerging Frontiers in Biotechnology" ini menjadi platform strategik bagi memperkukuh kelestarian industri bioteknologi dan pemuliharaan alam semula jadi di Sabah.
Majlis perasmian simposium tersebut telah disempurnakan oleh Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YB Tuan Jordan Jude Datuk Ellron, yang hadir mewakili YB Datuk James Bin Ratib, Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah.Turut menyerikan majlis ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah (Pembangunan), YBhg. Datuk Dr. Ahamed bin Sade, dan Naib Chanselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), YBhg. Profesor Datuk Dr. kasim Haji Mansor.
Dalam sesi perkongsian, Pengarah Pusat Biodiversiti Sabah (SaBC); YBhg. Puan Ken Kartina Khamis telah diundang untuk menyampaikan pembentangan beliau bertajuk “ From Blueprint to Impact : Streghtening Biotechnology Governance for A Sustainable Future in Sabah”. Penglibatan beliau dalam acara bertaraf dunia ini mencerminkan peranan strategik SaBC dalam merealisasikan misi Sabah Biotechnology Action Blueprint (2024-2034). Pelan tindakan jangka panjang ini memberi fokus kepada pemerkasaan penyelidikan, inovasi mampan, dan pengurusan Akses kepada Sumber Biologi serta Perkongsian Faedah (ABS). Usaha ini penting bagi memastikan kekayaan biodiversiti unik Sabah diurus dan dikomersialkan secara beretika demi pulangan ekonomi yang lestari kepada negeri.

