31 Ogos 2026 – Pusat Biodiversiti Sabah (SaBC) telah melaksanakan pemantauan penyelidikan bagi Ekspedisi Saintifik Sabah Mission 2026. Pemantauan pematuhan ini dijalankan secara sinergi antara SaBC, Jabatan Perikanan Sabah serta Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan di atas kapal penerokaan OceanX Explorer yang berlabuh di Pelabuhan Kota Kinabalu.
Ekspedisi ini merupakan kerjasama antara organisasi penyelidikan antarabangsa OceanX dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai rakan penyelidik tempatan utama.
Fokus utama pemantauan adalah bagi memastikan pematuhan syarat Lesen Akses, terutamanya dalam aspek pengumpulan sampel, pengendalian data saintifik, serta memastikan operasi ekspedisi dikendalikan mengikut peraturan yang ditetapkan.
Pemantauan ini membuktikan komitmen SaBC dalam menyokong penyelidikan saintifik yang bertanggungjawab, sekali gus memperkukuh pemeliharaan biodiversiti dan ekosistem marin Sabah secara lestari. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak OceanX dan UMS atas kerjasama penuh sepanjang sesi pemantauan ini dijalankan.

