3 September 2026 - Satu lagi detik bersejarah telah dilakar menerusi penganjuran Sesi Menandatangani Terma Persetujuan Bersama (MAT) yang memeterai kerjasama strategik antara Pusat Biodiversiti Sabah (SaBC) dan komuniti Kampung Larapan Hujung, Semporna.
Majlis berprestij ini telah disempurnakan pelaksanaannya dengan perasmian oleh Pegawai Daerah Semporna, serta turut disaksikan dan disokong penuh oleh Ketua Kampung Larapan Hujung bersama barisan kepimpinan komuniti setempat dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang terlibat.
INTIPATI PROGRAM & KEPENTINGAN MAT:
1) Pengiktirafan Hak & Pengetahuan Tradisi:
Perjanjian MAT ini berfungsi sebagai instrumen perundangan utama di bawah rangka kerja Akses dan Perkongsian Faedah (ABS) bagi memastikan sumber biologi dan pengetahuan tradisi berkaitan sumber biologi milik komuniti Kg. Larapan Hujung Semporna diiktiraf dan dilindungi daripada sebarang eksploitasi tanpa kebenaran.
2) Akses Perkongsian Faedah (ABS) yang Adil & Saksama:
Menerusi persetujuan ini, sebarang penyelidikan, pembangunan, atau penggunaan sumber biologi dan pengetahuan traidisi berkaitan sumber biologi perlu melalui keizinan termaklum awal (PIC), kelulusan lesen akses, dan perjanjian perkongsian faedah (ABS). Sebarang pulangan sama ada dalam bentuk kewangan mahupun bukan kewangan perlu dibahagi kembali kepada komuniti tempatan secara adil dan saksama.
3) Pemerkasaan Komuniti & Kelestarian Biodiversiti:
Sokongan padu daripada Pejabat Daerah Semporna dan kepimpinan kampung membuktikan komitmen bersama dalam memelihara biodiversiti di Sabah. Langkah ini memperkasakan komuniti untuk bertindak sebagai 'benteng hadapan' dan pelindung utama biodiversiti di kawasan mereka.
Kerjasama rapat antara agensi kerajaan, pentadbiran daerah, NGO dan komuniti ini amat penting dalam memastikan pembangunan ekonomi yang mampan berjalan seiring dengan pemuliharaan warisan alam semulajadi Sabah untuk generasi akan datang.
Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan majlis ini!
#SabahBiodiversityCentre #SaBC #Semporna #KgLarapanHujung #MutuallyAgreedTerms #ABS #BiodiversitiSabah #PemuliharaanMampan #PemerkasaanKomuniti #SabahMajuJaya

