Pusat Biodiversiti Sabah (SaBC) berbesar hati dijemput sebagai penceramah dan fasilitator dalam Bengkel Pengenalan Protokol Komuniti Keramuak di Tongod. Program inisiatif dan anjuran Panthera Malaysia ini telah berlangsung dengan jayanya pada 1 Oktober 2026.
Sepanjang bengkel ini, fokus utama SaBC adalah untuk memperkasa komuniti tempatan melalui beberapa objektif utama:
Peranan SaBC: Memberi pendedahan tentang peranan dan fungsi SaBC dalam menyokong pembangunan Protokol Komuniti di Sabah.
Akses & Perkongsian Faedah (ABS): Memberi penerangan yang komprehensif mengenai Akses dan Perkongsian Faedah (ABS) dalam konteks Protokol Komuniti.
Perkongsian Inspirasi: Memperkenalkan Protokol Komuniti Mangkap, menampilkan jemputan khas daripada wakil Komuniti Malangkap untuk membuat pembentangan dan berkongsi pengalaman berharga mereka.
Tinjauan Pengetahuan Tradisi: Melaksanakan tinjauan potensi untuk mendokumentasikan pengetahuan tradisi komuniti yang berkaitan dengan sumber biologi, serta menilai tahap kefahaman mereka terhadap protokol komuniti.
Dapatan Menarik daripada Bengkel:
Komuniti Keramuak memiliki kekayaan pengetahuan tradisi yang sangat unik dan tersendiri, terutamanya yang berkait rapat dengan sumber biologi di kawasan mereka.
Komuniti ini dilihat jauh lebih bersedia dalam mengorak langkah membangunkan Protokol Komuniti mereka sendiri. Hal ini didorong oleh pengalaman luas mereka sebelum ini dalam pembangunan Community Conservation Area (CCA) bersama pihak Panthera Malaysia!
Tahniah dan syabas diucapkan kepada Panthera Malaysia atas penganjuran yang cemerlang, pihak Komuniti Malangkap atas kesudian berkongsi ilmu, serta Komuniti Keramuak atas komitmen yang luar biasa. Bersama-sama kita memelihara sumber biologi dan pengetahuan tradisi Sabah untuk generasi akan datang!

