SABAH BIODIVERSITY CENTREOFFICIAL WEBSITE"Sabah Maju Jaya"
SABAH BIODIVERSITY CENTREOFFICIAL WEBSITE"Sabah Maju Jaya"
MAJLIS PERTUKARAN DOKUMEN PERJANJIAN PERKONGSIAN FAEDAH ANTARA KERAJAAN NEGERI SABAH DENGAN BOTANICKEL SABAH SDN. BHD.
Kerajaan Negeri Sabah mencatatkan detik bersejarah hari ini dengan penandatanganan Perjanjian Perkongsian Faedah (Benefit Sharing Agreement - BSA) yang pertama antara Kerajaan Negeri Sabah, melalui Majlis Biodiversiti Sabah (MBS) dan Pusat Biodiversiti Sabah (SaBC), bersama Botanickel Sabah Sdn. Bhd.
Botanickel Sabah Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat Botanickel yang diasaskan oleh Aperam, syarikat keluli global, dan Econick, syarikat teknologi fitoekstraksi dari Perancis, akan bekerjasama dengan kerajaan Sabah dalam projek “Pelaksanaan Pertanian Lestari Logam Nikel di Sabah.” Ini adalah perjanjian pertama yang ditandatangani selepas pindaan Enakmen Biodiversiti Sabah 2000 yang memperkenalkan peruntukan Akses dan Perkongsian Faedah (ABS), selaras dengan prinsip Protokol Nagoya.
Projek ini menggunakan teknologi fitoekstraksi yang inovatif, yang melibatkan penggunaan tumbuhan hiperakumulator dari Sabah untuk mengekstrak logam nikel daripada tanah. Pendekatan ini bukan sahaja menyokong pembangunan sektor pertanian dan mineral, tetapi juga bertujuan untuk mengoptimumkan sumber semula jadi dengan pendekatan yang mesra alam.
Sebagai sebahagian daripada model ekonomi kitaran, projek ini memberi tumpuan kepada kelestarian alam sekitar dan penggunaan sumber secara efisien, sambil membuka peluang ekonomi baharu di Sabah. Projek ini dijangka memberi impak positif kepada komuniti tempatan melalui peluang pekerjaan dan kontrak pertanian jangka panjang. Selain itu, integrasi ekopelancongan dalam projek ini membuka peluang baru untuk merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
Majlis pertukaran dokumen ini bukan sahaja menjadi tanda kejayaan bagi Sabah, tetapi juga memberi isyarat kepada penyelidik, pelabur, dan industri antarabangsa untuk meneroka potensi besar dalam bioekonomi negeri ini. Sabah terus berkomitmen untuk memajukan sains, inovasi, dan ekonomi yang mampan bagi manfaat jangka panjang rakyat.