30 JUN 2026 – Pusat Biodiversiti Sabah (SaBC) telah menganjurkan Sambutan Hari Biodiversiti Sedunia Peringkat Negeri Sabah 2026 bertemakan “Acting Locally for Global Impact” (Tindakan Lokal, Impak Global) di Hotel Hilton, Kota Kinabalu.
Program dimulakan dengan Sesi Ceramah Biodiversiti yang mengetengahkan tiga pembentangan berkaitan dengan penyelidikan dan pemuliharaan biodiversiti di Sabah. Ceramah-ceramah tersebut mempamerkan usaha penyelidikan dan pemuliharaan di peringkat tempatan yang mampu memberikan impak di peringkat global, selaras dengan tema sambutan tahun ini.
Puan Alviana Damit, Pegawai Penyelidik daripada Jabatan Perhutanan Sabah, merupakan antara penceramah yang dijemput bagi berkongsi hasil penyelidikan mengenai penemuan dan penamaan spesies baharu Nepenthes pongoides. Turut menyampaikan ceramah ialah Profesor Madya Dr. Juanita Joseph daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang membentangkan usaha pemuliharaan penyu, serta Dr. Ily Azzedine Mh. Subari daripada UMS yang berkongsi hasil penyelidikan berkaitan dengan kulat.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan perasmian oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah (Pembangunan), YBhg. Datuk Dr. Ahamed bin Sade. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Sabah dalam memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti melalui pelaksanaan strategi jangka panjang, pengiktirafan terhadap penyelidikan, serta pemanfaatan teknologi digital bagi memastikan khazanah semula jadi negeri ini terus dipelihara secara lestari. Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas), YBhg. Datuk Hanafiah DSP Kassim.
Pengarah SaBC, YBhg. Puan Ken Kartina Khamis, dalam ucapan alu-aluannya turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua agensi yang telah membantu menjayakan usaha pemuliharaan khazanah biodiversiti di Negeri Sabah. Beliau turut berharap agar lebih ramai pihak akan tampil bersama-sama melestarikan alam semula jadi kita ke tahap tertinggi. Antara bentuk sokongan tersebut termasuklah menghasilkan penyelidikan bermutu tinggi yang boleh diaplikasikan serta dijadikan panduan pada masa hadapan.
Sempena majlis tersebut, bagi memelihara pengetahuan tradisional tempatan dan pada masa yang sama mengarusperdanakan ilmu tersebut, SaBC turut melancarkan dua platform digital, iaitu SaTKIS (Sabah Traditional Knowledge Information System) dan SaBAES 2.0 (Sabah Biodiversity Access and Export System). SaTKIS merupakan sistem maklumat dan pangkalan data yang dibangunkan bagi mendokumentasikan pengetahuan tradisional berkaitan dengan sumber biologi di Sabah. Sementara itu, SaBAES 2.0 ialah sistem permohonan lesen akses dan eksport biodiversiti yang berfungsi untuk mengurus, mengawal selia, serta memantau penyelidikan biodiversiti dan penggunaan sumber biologi di Sabah selaras dengan peruntukan Enakmen Biodiversiti Sabah 2000.
Melalui penganjuran program ini, SaBC berharap agar biodiversiti, khususnya di negeri Sabah, akan terus terpelihara dan mendapat kerjasama padu daripada semua pihak serta agensi yang terlibat demi memastikan kelestarian ekosistem dan khazanah alam semula jadi yang unik ini dapat diwariskan kepada generasi masa hadapan

