SABAH BIODIVERSITY CENTREOFFICIAL WEBSITE"Sabah Maju Jaya"
SABAH BIODIVERSITY CENTREOFFICIAL WEBSITE"Sabah Maju Jaya"
Memelihara Khazanah Pengetahuan Tradisi Berkaitan Sumber Biologi Demi Kelestarian Biodiversiti
Pusat Biodiversiti Sabah (SaBC) telah melaksanakan "Program Dokumentasi Pengetahuan Tradisi (TK) berkaitan Sumber Biologi" yang bertempat di Kg. Larapan Hujung, Semporna pada 3 hingga 5 September 2026.
Inisiatif strategik ini digerakkan dengan satu objektif utama: untuk mendokumentasikan pengetahuan tradisi berkaitan sumber biologi yang mempunyai nilai perubatan dalam usaha memelihara dan mengawal penggunaan sumber biologi secara mampan.
Pengetahuan Tradisi (Traditional Knowledge, TK) berkaitan sumber biologi yang diwarisi turun-temurun berdepan dengan ancaman kepupusan akibat arus permodenan. Melalui program dokumentasi ini, SaBC komited untuk memastikan pengetahuan tradisi berkaitan sumber biologi ini tidak lenyap ditelan zaman.
Pendokumentasian ini memberi impak jangka panjang yang sangat penting, antaranya:
1) Perlindungan Hak Komuniti: Melalui pemerkasaan Akses dan Perkongsian Faedah (ABS), ianya melindungi warisan dan hak intelek komuniti Kg. Larapan Hujung daripada eksploitasi pengguna (pihak luar) yang tidak bertanggungjawab.
2) Pemangkin Penyelidikan dan Potensi Komersial: Membuka ruang kepada integrasi dan perkongsian antara sains moden dengan pengetahuan tradisional berkaitan sumber biologi bagi meneroka potensi penemuan baharu dalam bidang bioteknologi pada masa hadapan.
3) Pengurusan Sumber Mampan: Memastikan kelestarian ekosistem biologi marin dan darat di Semporna sentiasa terpelihara berpandukan kaedah penjagaan yang telah terbukti berkesan oleh masyarakat terdahulu.
SaBC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh komuniti Kg. Larapan Hujung, Semporna atas perkongsian, kerjasama erat, dan kesudian berkongsi ilmu yang tidak ternilai harganya ini. Pemuliharaan biodiversiti yang holistik bermula dengan usaha komuniti yang menjadi barisan hadapan dalam perlindungan biodiversiti.
Bersama kita melindungi kelestarian biodiversiti dan pengetahuan tradisi berkaitan sumber biologi anak negeri dan komuniti tempatan Sabah demi generasi akan datang.