SABAH BIODIVERSITY CENTREOFFICIAL WEBSITE"Sabah Maju Jaya"
SABAH BIODIVERSITY CENTREOFFICIAL WEBSITE"Sabah Maju Jaya"
Program Pembangunan Kapasiti Komuniti 12-14 Oktober 2026
PEMERKASAAN KOMUNITI DALAM PEMELIHARAAN BIODIVERSITI DAN PENGETAHUAN TRADISI SABAH
Pusat Biodiversiti Sabah (SaBC) dengan kerjasama Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Program Pembangunan Kapasiti Komuniti dengan jayanya pada 12 hingga 14 Oktober 2026 bertempat di IBTP, UMS dengan penyertaan oleh komuniti atau wakil serta persatuan, iaitu dari Kg. Rungus Tamparuli, Kg. Kolosunan Inanam, Kg. Rongolis Tamparuli, Kg. Larapan Hujung Pulau Larapan Semporna dan Persatuan Penanam Herba & Pengamal Perubatan Tradisional & Komplementari Borneo Utara Sabah.
Program ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Program Aplikasi Pengetahuan Tradisi Orang Asli/Asal di Malaysia di bawah Rolling Plan 4 (RP4), Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) yang memfokuskan kepada dokumentasi pengetahuan tradisi (Traditional Knowledge - TK) mengenai penggunaan tumbuhan dalam perubatan tradisional oleh masyarakat tempatan Sabah.
Objektif Utama Program:
Meningkatkan pengetahuan komuniti mengenai pengenalpastian tumbuhan berdasarkan ciri-ciri morfologi serta kepentingan spesimen tumbuhan sebagai bahan rujukan saintifik.
Meningkatkan kemahiran komuniti dalam dokumentasi saintifik tumbuhan melalui teknik fotografi serta penyediaan baucar spesimen.
Memberi pendedahan dan memperkenalkan platform pengurusan maklumat biodiversiti dan pengetahuan tradisi Negeri, iaitu:
• Sabah Traditional Knowledge Information System (SaTKIS) sebagai pusat sehenti pengetahuan tradisi Negeri.
• Sabah Biodiversity Integrated Information System (SaBIIS) dan aplikasi iSaBIIS sebagai sistem pengurusan maklumat biodiversiti Negeri.
Memperkasa komuniti dalam mendokumentasikan dan menyampaikan pengetahuan tradisi berkaitan tumbuhan ubatan secara sistematik dan berkesan.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua peserta dan jawatankuasa yang terlibat. Semoga ilmu yang dikongsi dapat terus memelihara warisan biodiversiti dan pengetahuan tradisi yang bernilai ini untuk generasi akan datang!