SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-12 RIZAB BIOSFERA BANJARAN CROCKER DAN PEMASYHURAN RIZAB BIOSFERA KINABATANGAN
KOTA KINABALU, SABAH – Sabah terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pemuliharaan biodiversiti di peringkat antarabangsa melalui tapak Rizab Biosfera Banjaran Crocker yang berjaya melepasi proses penilaian 10 tahun Periodic Review seterusnya mengekalkan status sebagai tapak rizab biosfera dan tapak Rizab Biosfera Kinabatangan yang diiktiraf secara rasmi oleh Program Man and the Biosphere, UNESCO pada 27 September 2025.
Bagi meraikan pencapaian penting ini, Sambutan Ulang Tahun ke-12 Rizab Biosfera Banjaran Crocker dan Pemasyhuran Rizab Biosfera Kinabatangan telah diadakan bermula dari 13 sehingga 14 Jun 2026 bertempat di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.
Semasa sambutan berlangsung, Unit Pengurusan Konservasi, Pusat Biodiversiti Sabah telah terlibat dalam pameran dan taklimat termasuk kuiz interaktif yang bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat selain mempromosikan tapak Rizab Biosfera Kinabatangan.
Sambutan Hari Ulang Tahun ke-12 Rizab Biosfera Banjaran Crocker dan Pemasyhuran Rizab Biosfera Kinabatangan ini telah dirasmikan dan disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah. Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah dan tetamu kehormat juga telah mengunjungi reruai pameran Tapak Rizab Biosfera Kinabatangan diiringi oleh Pengarah Pusat Biodiversiti Sabah.
Pusat Biodiversiti Sabah ingin mengucapkan terima kasih kepada Taman-Taman Sabah selaku penganjur utama sambutan berkenaan. Pengiktirafan kedua-dua tapak ini juga merupakan hasil kerjasama erat antara kerajaan, institusi penyelidikan, pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta dan komuniti tempatan yang bersama-sama memainkan peranan penting dalam memastikan khazanah biodiversiti Sabah terus terpelihara dan pembangunan mampan dapat dicapai.
Leon Spencer Saiman

